Salam Sejahtera....
Sedar tak sedar rupanya kita sudah menjalani ibadah puasa yang Ke-18 dan tak lama lagi hari raya akan menyusul tiba.
Namun sempena ramadhan ini, hati dan perasaan saya amat tersentuh dan seronok apabila melihat telatah anak-anak semasa berbuka puasa.....rasanya ini adalah sebahagian daripada nikmat didalam menjalani ibadah puasa bagi insan yang telah berkeluarga.
Berbuka puasa dalam kontek keluarga memang menyeronokan. Apabila masa nak berbuka dah dekat, pasti ada panggilan telepon daripada anak-anak khususnya mengingatkan kita untuk berbuka bersama mereka dirumah. Tak kurang juga anak-anak sering mengajak kita mengunjungi mana-mana bazaar ramadhan dan ini sudah menjadi satu kemestian sekurang-kurangnya sekali seminggu. Mungkin kita merasakan ini sesuatu yang membazir, namun apabila dihayati dan diamati secara total, aktiviti ini rupanya mampu meningkatkan kasih sayang kita dengan anak-anak disamping ianya dapat memberikan dorongan dan motivasi untuk anak-anak didalam menjalani ibadah puasa.
Dalam bulan ramadhan tahun ini saya sempat juga menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama dengan masyarakat kampung dibeberapa tempat khususnya di Sipitang dan Daerah Beaufort. Suasana berbuka bersama masyarakat kampung ini sememangnya perlu diteruskan dan semangat didalam mewujudkan kesepakatan dikalangan mereka ini harus diterapkan kedalam mana-mana institusi sosial. Kesepakatan mereka jelas mampu membawa kepada satu jalinan kemesraan yang pada dasarnya mampu membawa kita kepada satu keharmonian yang berterusan.
Namun baru-baru hati saya amat tersentuh apabila menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama dengan anak yatim yang dianjurkan oleh JHEAINS. Jelas anak-anak ini menjalani sahur dan berbuka tanpa orang tua tersayang disisi mereka, namun anak-anak ini tetap mempunyai jiwa yang kuat untuk mengharungi ramadhan ini. Rasanya amat wajar bagi mana-mana insan yang berkemampuan dapat membantu meringankan beban hidup anak-anak ini agar mereka juga dapat menikmati nikmat kehidupan di dunia ini. Doa saya buat anak-anak ini " mudah-mudahan mereka akan sentiasa beroleh kejayaan .....amin "
Sekian, Wassalam & Terimakasih.
Mohd Kassim B. Ali Yusof
No comments:
Post a Comment